FANA
Situasi ‘fana’ ini berlaku apabila seseorang hamba itu terlalu mencintai Tuhan sehingga dirasakan dirinya seolah-olah bersatu dengan Tuhan, suatu tingkat di mana yang mencinta dengan yang Dicinta seolah-olah telah menjadi satu.
Al fana ini sering berlaku pada diri Abu Yazid Al Bustami, seorang wali besar yang sangat masyhur namanya dari zaman ke zaman.
Nama sebenar Abu Yazid ialah Taifur bin Isa bin Adam bin Syarusyan. Gelaran Al Bustami itu adalah bersempena tempat kelahirannya iaitu di Bustam, timur laut Parsi. Tariqat yang diasaskannya dinisbahkan kepada namanya sendiri iaitu tariqat Taifuriyyah. Setiap kali hendak berzikir, Abu Yazid akan membasuh mulutnya (sebahagian riwayat mengatakan dengan air mawar) terlebih dahulu. Ini dilakukannya selama tiga puluh tahun.
Di antara karamahnya ialah beliau pernah terbang di udara, berjalan di atas air, mengetahui terlebih dahulu siapakah yang hendak datang ke rumahnya dan juga niat orang itu, mendapat makanan walaupun tidak bekerja dan lain-lain lagi. Beliau pernah ditangkap dan dihukum pancung kerana orang mendengar dia menyebut dirinya sebagai Tuhan. Sebenarnya ketika itu dia sedang dalam keadaan fana tetapi orang biasa tidak memahaminya kerana kejahilan mereka. Hanya para sufi saja yang tahu tentang fana ini.
Sewaktu leher Abu Yazid hendak dipancung, tiba-tiba muncul beratus-ratus Abu Yazid. Tukang pancung pun memancung seberapa banyak lembaga Abu Yazid namun tidak ada satu pun yang mengena. Setelah dia berhenti memancung, barulah Abu Yazid yang sebenar berada di hadapannya. Dengan itu, Abu Yazid pun dibebaskan kerana memang tidak ada sesiapa pun yang dapat menghukumnya tanpa keizinan Kekasihnya Yang Satu.
Di dalam fananya Abu Yazid pernah berkata: “Maha Suci Aku, Maha Suci Aku, Maha Besar Aku.” Namun perkataan ‘Aku’ itu bukanlah untuk dirinya tetapi untuk Tuhan. Begitu juga apabila sesetengah para sufi melatah , “Mengapa kamu semua tidak mahu menyembah Aku?” Ketika berkata itu, Abu Yazid sebenarnya telah lenyap dalam kefanaan, yang tinggal hanyalah Allah.
Samalah halnya dengan tuan-tuan guru yang mengajar sekarang. Adakalanya mereka mengucapkan, “Kalau kamu engkar, Aku akan campak kamu ke dalam neraka-Ku.” Adakah tuan-tuan guru itu mengaku mereka Tuhan? Tidak. Sebenarnya mereka cuma mengajuk kembali perkataan-perkataan Allah walaupun mereka tidak fana. Apatah lagi orang yang fana!
Untuk memahami dengan sebenar-benar faham akan perihal ‘Al Fana’ ini tidak mahu tidak terpaksalah kita menerjunkan diri ke dalam dunia sufi, tasauf dan tariqat. Ini kerana pembicaraan tentangnya amat mendalam dan memerlukan guru yang mursyid lagi arifbillah.
Jika di dunia lagi kita tidak mendapat fana, bagaimana pula kita hendak mendapatkan fana di akhirat dengan memandang wajah-Nya? Namun begitu, segalanya tidak mustahil dengan izin Allah.
Sebab itulah kita jangan mudah-mudah menuduh seseorang itu gila apabila dia sering meracau-racau tentang Allah, Islam dan kelakuannya aneh kerana kita tidak tahu bagaimana hubungannya dengan Allah SWT. Satu contoh yang terbaik ialah seorang kekasih Allah bernama Saadun Al Majnun.
Orang ramai memanggilnya Saadun Al Majnun yang bererti ‘Saadun Si Gila’. Dia kelihatan selekeh dengan pakaiannya yang buruk dan bertampal-tampal. Rambutnya kusut dan dirinya tidak terurus. Budak-budak melontarnya dengan batu kerana menyangkakan dia gila. Dia sering mencari makanan di tempat-tempat pembuangan sampah. Saadun juga sering bercakap-cakap seorang diri. Hanya wali Allah saja yang mengenali wali Allah yang lain. Seorang wali Allah yang terkenal iaitu Malik bin Dinar mengiktiraf kewalian Saadun setelah berbual dengannya.
- menyorokkan wali-Nya daripada hamba-hamba-Nya. Oleh itu janganlah memandang hina pada seseorang
- menyorokkan redha-Nya dalam kebaikan. Oleh itu janganlah memandang rendah setiap kebaikan (walaupun kecil)
- menyorokkan murka-Nya dalam maksiat. Oleh itu janganlah samapi melakukan maksiat
Antara karamah yang dianugerahkan kepada Saadun ialah dia amat mahir mencipta sajak kesufian, nasihatnya bagaikan mutiara hinggakan khalifah Harun Ar Rasyid menangis dan pengsan mendengarnya, turun hujan apabila dimintanya dan pelbagai lagi.
Abdul Wahid bin Zaid menceritakan yang dia berjalan dengan seorang pendeta. “Wahai pendeta. Engkau amat suka untuk bersendirian.”
Pendeta itu menjawab: “Wahai saudaraku. Kalaulah engkau merasakan manisnya seorang diri itu, nescaya engkau tidak mahu sindiran itu datangnya daripada (mulut) engkau. Seorang diri itu adalah kepada ibadah.”
“Wahai pendeta. Sekurang-kurangnya apakah yang engkau dapat dengan bersendirian itu?”
“Kesenangan daripada di kelilingi manusia dan selamat daripada kejahatan mereka.’
“Wahai pendeta. Bilakah seseorang hamba itu akan merasa kemanisan berjinak-jinak hati dengan Allah Taala?”
“Apabila telah bersih kasih sayang dan ikhlas pergaulan (dengan Tuhan).”
“Bilakah bersihnya kasih sayang?”
“Apabila telah berkumpul (semua) cita-cita lalu menjadi satu cita-cita (sahaja iaitu) pada ketaatan.”
Kata Junaid Al Baghdadi: “Orang yang berjinak-jinak hati dengan Allah itu berbicara dalam munajah dan khilwah (bersendirian)nya perkara-perkara yang dipandang kufur pada orang awam.”
Junaid juga pernah berkata: “Jika didengar oleh orang biasa (perkataan-perkataan para sufi ketika bersendirian itu) nescaya mereka mengkufurkannya.”
Jadi, mereka yang tidak pernah menyelam ke lautan dunia kesufian, maka tidaklah mereka dapat memahami bagaimana seronoknya menjelajah dasar laut kesufian tersebut. Mereka sekadar memerhati dari tepi pantai lalu menghukumkan dasar laut itu begini dan begini. Apabila orang yang pernah menyelaminya datang bercerita, mereka katakan pula ceritanya itu karut. Ini kerana akal fikiran mereka tidak sampai untuk menerima apatah lagi memahami dan menghuraikan keindahan dasar laut kesufian tersebut.
Allah sajalah Kekasih yang akan bersama selamanya dengan kita. Jadikanlah Allah Cinta Agung!
Allah SWT Yang Maha Tahu
Siap disusun pada jam 12.20 tengah hari Khamis 13 Safar 1423